Sunday 30 October 2011

Tiba Masanya

17 Mei 2011

Tarikh itulah masanya untuk aku bertolak ke PLKN selama 3 bulan. Aku rasa gementar kerana buntu dengan apa yang akan berlaku dan rasa seronok dengan cabaran yang akan menanti aku.

Pagi-pagi lagi aku sudah bangun, menunaikan solat subuh. Dalam pukul 7.00 pagi bertolak dari rumah berjalan kaki disebabkan Stadium MPS tu dekat sangat dengan rumahku.

Sudah sampai aku di MPS, terkejut aku dibuatnya sebab ramai juga pelatih yang senasib denganku. Kemudian, aku pergi ke khemah yang ada tanda ‘KEM MILLENIUM’. Seiingat aku Cikgu Fiq dan Cikgu Erma yang ada di situ.

Samar-samar lagi aku ingat bahawa aku ni datang lewat sedikit sebab bas sudah hendak bertolak masa aku tiba. Tersengih-sengih aku dibuatnya, itulah rumah dekat, hendak buat macammana.

Apabila aku sudah letak beg ku di bawah bas, aku ternampak tiga rakan sekolahku, terkejut aku kerana kami akan menetap di kem yang sama. Selesai bersalaman dengan ayah dan ibu serta abang dan adik aku, aku pun melangkah naik ke dalam bas.

Aku duduk di sebelah pelatih yang bernama Niesa. Aku tahu nama dia sahaja pada permulaannya disebabkan aku tengok mukanya yang tiada mood. Macammana aku tahu dia tiada mood? Entahlah aku anggarkan sahaja .

Tunggu punya tunggu, akhirnya Cikgu Fiq naik atas bas dan menghulurkan sehelai sampul surat, di dalamnya ada RM 10. Selesaikan Cikgu membuat semakan nama, bertolaklah kami.

Sebelum tu aku ada telefon adik aku dan beritahu dia supaya memuat turunkan cerita korea ‘Running Man’ dan ‘Family Comes Here’ ketika aku berada di dalam PLKN. Merepek juga aku ni.

Selamat tinggal Selayang ku Selayang, melambai-lambailah kami. Aku akan ingat pesanmu Ibu. 


Dalam Perjalanan

Tiada satu suara manusia pun yang aku dengar ketika di dalam bas. Semuanya melayan perasaan sendiri. Aku ingat hendak memulakan perbualan tapi tidak apalah aku pun hendak melayan perasaan aku jugak.


Dengan ‘ipod nano’ aku serta buku ‘Seni Bahasa Badan’, aku pun melayan diri. Bila aku rasa loya sahaja, aku tutup buku, dan memandang jalan raya. Semasa aku termenung aku memasang tekad untuk menjadi yang terbaik di dalam PLKN .


Setibanya aku di Kem Millennium, Beranang.

‘Wah!’ itulah perkataan pertama yang keluar dari mulut aku ketika aku turun dari bas.
Aku pun turun dari bas dan mengambil beg aku.

‘Mak ai, macammana aku nak angkat beg aku sorang-sorang ni, jauh tu’ mengomel aku seorang diri. Nasib baik ada kawan yang menolongku, namanya ‘Seri Dian’.


Kami ke satu bilik untuk diperiksa barang oleh jurulatih. Barang yang tidak dibawa masuk ke dalam kem adalah pisau, gunting, rokok, dadah dan selanjutnya. Oh, tidak lupa juga MAGGI.

Maggi aku diambil dan akan dipulangkan semula. Selamat tinggal maggiku. 


Selepas itu, kami berganjak ke satu bilik lagi. Di bilik tersebut kami dikehendaki mengisi borang dan beratur untuk memberi telefon bimbit kami justeru diberitahu tentang penempatan kami. Sekali lagi, selamat tinggal telefon bimbitku.


Sudah habis mengucapkan selamat tinggal, kami berganjak ke bilik pertama dan mengambil beg kami. Sebelum kami ke dorm sendiri, kami dikehendaki timbang berat dan mengukur ketinggian.


Selepas inilah, baru kami ke dorm kami. Semasa berjalan, aku rasakan begitu jauhnya perjalanan kami. Dorm wirawati terletak berhampiran dengan ‘Dewan Makan’.


Semasa berjalan mengikuti dewan makan, mata-mata manusia yang sedang duduk mendengar lagu PLKN meliar memandang kami. Takut, itulah perasaan aku ketika itu.
Tibanya aku di DORM F, aku disambut mesra oleh ‘Kila’. Aku pun memilih katil dan simpan segala peralatan aku. Percaya atau tidak, aku buat macam rumah aku sendiri sahaja.

akan bersambung . . . 

Mutiara kata :
 "Teman manusia yang sebenar ialah akal dan musuhnya yang celaka ialah jahil."

Friday 28 October 2011

Bersama Tetamu

Nurul Amira bt Yuusuf merupakan salah seorang bekas pelatih di Kem Millenium, Beranang. Dia pernah bersekolah di SMK Jalan 3, Bangi dan dilahirkan pada 4 oktober 1993. Nama panggilan Amira semasa di PLKN adalah Myra. Mari kita berborak bersama Myra . . .

Untuk mengenali Myra dengan lebih lanjut, sila layari blog peribadi beliau di http://myracamila7.blogspot.com/

Soalan untuk anda:

1.       Apakah reaksi apabila dapat surat PLKN?
Saya sangat rasa sangat gembira apabila surat PLKN tiba di rumah.

2.        Ceritakan pengalaman pahit anda.
Seeingat saya, pengalaman pahit bagi Myra apabila kami dikenakan denda atau hukuman.

3.       Ceritakan pengalaman manis anda.
Pertama sekali apabila berpeluang mengenali ramai kenalan. Selain itu juga, Myra dapat mempelajari sedikit sebanyak tentang bahasa Sabah dan Sarawak. Tetapi yang paling manis adalah saya berpeluang untuk mengikuti aktiviti menembak di padang sasaran.

4.       Perasaan anda ketika berada di PLKN?
Myra rasa sangat gembira.

5.       Anda dari dorm mana dan company mana?  Ceritakan pengalaman anda ketika berada di dalam dorm atau company anda sendiri.
Myra merupakan bekas wirawati dari DORM C iaitu dari company Bravo. Pengalaman paling berharga buat saya adalah saya menjadi seorang yang berdikari.

6.       Apakah aktiviti kegemaran anda ketika berada di dalam PLKN?
PT 10, Kelas kenegaraan serta kelas-kelas yang lain terutama sekali PK4!

7.       Apakah pengajaran berharga bagi anda sepanjang berada di dalam PLKN?
Pengajaran yang saya alami adalah kita harus membantu rakan-rakan kita yang
berada dalam kesusahan.

8.       Ucapan kepada bekas pelatih,jurulatih dan bakal pelatih PLKN.
 Untuk semua bekas pelatih PLKN, terima kasih sebab anda sudi
 menjadi kawan saya. Rakan-rakan semua telah banyak membantu
 saya walaupun saya ni seorang yg degil. Terima kasih sekali lagi
 kerana semua tidak jemu menasihati saya

 Dan untuk semua jurulatih terima kasih kerana telah banyak
 mengajar saya tentang berkawat, menembak. Tidak lupa juga
 kerana banyak memberi saya sokongan.


sebarang soalan boleh hantar email anda ke :
nur.aqalili.93@gmail.com

Selamat tinggal aku ucapkan, esok sila datang lagi,
baca catatan siang dan malam hariku.
Sekian terima kasih.

Tuesday 25 October 2011

Wordless Wednesday

Pengajaran buat aku : Bawa beg roda untuk kesenangan anda.
tersenyum lebar aku.
Nantikan cerita ini pada Isnin minggu hadapan...

Sunday 23 October 2011

Ku ketahui kebenaran di akhirnya.

Tahun 2010 adalah tahun yang aku ketahui aku dapat memasuki Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Punya semangat kami semua di kelas menghantar SMS (Khidmat pesanan ringkas) dengan menaip PLKN SEMAK 931014****** dan hantar ke 15888 .  

Satu per satu SMS sampai berbunyi seperti, ‘ Maaf! 920627136529 tidak dipilih untuk menyertai PLKN Siri 8/2011. Terima Kasih’.  Riang-ria mereka melompat apabila tidak terpilih untuk menyertai program tersebut.

Aku pula masih menunggu giliran ku. Sekali ternganga mulut aku kerana SMS yang aku terima adalah ‘Tahniah! 931014******NUR AQALILI BINTI AZIZAN terpilih menyertai PLKN Siri 8/2011’.

Hati gembira

“Yahoo!” Tersenyum aku dibuatnya. Selain aku, ada lagi beberapa rakanku yang terpilih. Ada yang mengeluh, dan ada juga yang tidak menunjukkan sebarang perasaan.
Walaupun aku rasa gembira tetapi hati aku tidak tenang, seperti ada sesuatu yang menganggu fikiranku ini. Mungkin itu hanya perasaan aku sahaja atau mungkin itu adalah kebenaran. MUNGKIN OH MUNGKIN…

Mutiara kata :
 "Reaksi emosi jangan dituruti kerana implikasinya tidak seperti yang diimaginasi."

Friday 21 October 2011

Tips Persiapan Sebelum ke Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) :


1.   Pastikan anda Isi borang dengan lengkap.
a.   Borang 1 Permohonan Bagi Perakuan Penangguhan (JLKN/P/:01/Pin2/10)
b.   Borang Permohonan Pengecualian (JLKN:K/:03/Pin3/10)
c.   Borang Perakuan Kesihatan (JLKN/K/:01/Pin6/11)
d.   Pemeriksaan Perubatan (JLKN/K/:02/Pin5/09)
e.   Borang Pendaftaran Peserta (Lampiran G)
f.    Surat Kebenaran Pengendalian Senjata M16 (Lampiran 1)
g.   Borang Kebenaran Ibubapa/PEnjaga (JLKN/K/:04/Pin1/08)
             *Jika mahu teruskan PLKN, tidak perlu mengisi
              borang a. dan borang b.

2.   Melakukan pemeriksaan perubatan terlebih dahulu.
a.   Ketika melakukan pemeriksaan , anda perlu membawa borang Pendaftaran Peserta (Lampiran G) serta borang Pemeriksaan Perubatan (JLKN/K/:01/Pin6/11).
b.   Melakukan pemeriksaan di klinik terdekat.
c.   Pergi ke klinik yang terpilih dan ketahui masa untuk melakukan pemeriksaan.

3.   Bawa beg roda untuk kesenangan anda.
a.   Menyenangkan anda jika jarak antara pintu masuk kem ke dorm jauh.

4.   Pakaian dan Kelengkapan yang perlu dibawa oleh peserta.

Bawa 4 helai baju, 4 helai seluar track, baju tradisional.
a.   Jika anda di Sabah atau Sarawak, bawa lebih sedikit untuk kesenangan anda di Kem. 


Bagi wirawati muslim perlu membawa telekung.
a.   Kalau diikutkan keadaan, ini adalah perkara wajib bagi wirawati muslim untuk menunaikan solat 5 waktu sehari semalam.

Keperluan peribadi
a.   Membeli sabun mandi, berus gigi, ubat gigi, sikat rambut, selipar dan sebagainya.


Keperluan mencuci pakaian.
a.   Seperti sabun/serbuk pencuci, berus, penyangkut baju, penyepit baju, berus baju.

5.   Pastikan anda membawa wang tunai yang mencukupi.
a.   Di Kem PLKN sendiri mempunyai Koperasi untuk pelatih membeli kelengkapan seperti baldi serta makanan ringan.
b.   Untuk membayar baju company/baju dorm serta gambar (Jika ada).
c.   Kegunaan lain-lain bagi tujuan yang berfaedah.

6.   Telefon Bimbit
a.   Jika anda membawa telefon bimbit, jangan lupa untuk membawa pengecas sekali.
b.   Jaga telefon bimbit anda untuk mengelakkan daripada sebarang pencurian berlaku.

7.   Untuk kesenangan diri, bawa sedikit ubat-ubatan.
a.   Sebagai langkah persediaan untuk diri sendiri.
b.   Seperti satu papan Panadol, minyak panas, Eno dan lain-lain.
  
8.   Persediaan dari segi mental dan fizikal bagi diri anda ;)
a.   Persediaan mental supaya anda tidak mengalami kemurungan di sana.
b.   Daripada segi fizikal pula, supaya anda tidak selalu sakit.
c.   Perlu untuk anda menjaga waktu pemakanan, dan makan sedikit walaupun tidak rasa lapar. ANDA PERLU MAKAN UNTUK MENDAPATKAN TENAGA KETIKA MELAKUKAN PERLBAGAI AKTIVITI LASAK DI SANA.

Tuesday 18 October 2011

Monday 17 October 2011

Tentang aku

Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera,

Aku adalah hamba Allah yang bernama Nur Aqalili Binti Azizan.
Bersekolah rendah di SK Bandar Baru Selayang,
manakala, bersekolah menengah di SMK Darul Ehsan,

Lili merupakan salah seorang bekas pelatih Khidmat Negara.

Tetapi tahun dan tempatnya berbeza iaitu di Kem PLKN Millennium, Beranang, Selangor Siri 8, kumpulan 2, Tahun 2011.

Objektif aku membina blog ini adalah untuk berkongsi pengalaman aku sepanjang 3 bulan aku menatap
(oopss, menetap) di kem tersebut.

Pengalaman aku di PLKN ini sungguh bermakna buatku. Ada naik dan turunnya, seperti menaiki Roller Coaster begitulah hari-hariku di sana.

Hendak ketahui kisah-kisahku di sana? Ikuti blog ini untuk post yang seterusnya
. . .